Assallamualaikum dan salam sejahtera.
Saya seorang wanita berkahwin dan mempunyai empat orang anak (dua orang lelaki dan dua orang perempuan) serta dua orang cucu. Kesemua anak-anak saya sudah menamatkan pelajaran walau pun hanya setakat tingkatan 5. Anak saya yang sulung sudah berkahwin dan turut berkecimpung dalam bidang perniagaan mana kala dua orang anak lelaki saya sudah bekerja di Jabatan Kerajaan sebagai anggota Polis dan Tentera laut. Anak saya yang bongsu baru sahaja tamat tingkatan 5 dan turut berminat dengan perniagaan.
Syukur Alhamdulillah. Terdahulu puji dan syukur saya kepada Allah S.W.T kerana izin Nya maka saya boleh berjaya. Jika dinilai dari aspek pendidikan, mungkin anda semua tidak percaya dan agak mustahil saya boleh sampai ke tahap ini. Apa yang anda baca nanti adalah kenyataan dan bukan rekaan. Bagi makluman pembaca budiman, saya adalah seorang yang buta huruf. Saya tidak pernah menduduki bangku mana-mana sekolah sebagai pelajar semenjak kecil walau pun untuk masa setengah jam. Ini kerana faktor kemiskinan keluarga dan pemikiran sempit orang-orang tua dahulu. “Perempuan setinggi mana pelajaran namun di dapur juga tempatnya”. Saya cuba membuktikan bahawa anggapan itu tidak semuanya betul.
Kejayaan saya bermula bersama pahit getir dari bawah. Berbagai-bagai rintangan, cemuhan, ejekkan dan penghinaan yang saya terima. Tidak kurang juga sokongan semangat daripada ahli kekuarga serta kawan-kawan yang suka melihat orang lain maju. Semua yang saya lalui itu dijadikan pembakar semangat untuk saya terus berusaha hingga ke tahap sekarang. Bak kata pepatah “Kalau tidak dipecahkan ruyung manakan dapat sagunya”. “Orang buta boleh melihat dengan mata hati dan akal manakala orang celik adalah buta kalau tidak menggunakan akal”.
Setelah menamatkan zaman remaja kerana berkahwin pada usia muda, saya menjual Goreng Pisang dan Kuih Muih secara sambilan bagi membantu pendapatan suami yang tidak seberapa. Suami saya pula bekerja sebagai buruh Kilang Kayu dan bertanam padi sekangkang kera. Keadaan ini berlarutan sehingga beberapa tahun. Ketika itu juga saya sudah dikurniakan seorang anak perempuan. Demi rezeki saya terpaksa meninggalkan anak kesayangan hampir setiap hari kepada emak saya. Masa bagi saya ketika itu hampir tidak ada terluang kecuali waktu malam. Pada hujung minggu pula saya menolong suami bertanam padi. Itulah rutin harian saya.
Hasil keberkatan menabung wang, kami suami isteri berjaya membina sebuah rumah. Walau pun rumah itu hanya menyerupai sebuah pondok namun kami gembira kerana semua itu adalah hasil usaha sendiri. Sikap berdikari dan tidak mudah putus asa membolehkan saya menukar punca rezeki saya dari menjual Goreng Pisang dan Kuih Muih kepada menjual Pakaian Terpakai berbekalkan sedikit modal wang yang ditabungkan. Keringat lelah tidak menjadi penghalang kepada saya. Saya terpaksa menahan muka malu kerana ejekkan, cemuhan dan kata-kata penghinaan mengatakan “Itulah kemaruk nak berkahwin muda. Sekarang rasakan susahnya” dalam bahasa Sarawak “Yalah kenja belaki awal. Kinek tuk cerik kau rasa susahnya”.
Sepanjang perjalanan kira-kira 7 - 8 km ke destinasi dengan mengayuh basikal usang kata-kata di atas sering bermain difikiran. Sering kali air mata saya mengalir sendiri tanpa diundang. Semuanya tidak mematahkan semangat saya untuk terus berusaha. Setelah mengusahakan jualan Pakaian Terpakai dari rumah ke rumah beberapa tahun, saya berjaya menambah barangan jualan dengan Pakaian Baru (Brand New). Usaha demi usaha diteruskan sehingga pada awal tahun 1988 saya dan suami berjaya membesarkan rumah supaya lebih selesa memandangkan kami sudah dikurniakan dua orang anak ketika itu.
Pertengahan tahun 1990 saya berjaya membuka kedai runcit secara kecil-kecilan di hadapan rumah saya. Corak kehidupan saya sekeluarga semakin berubah dan punca rezeki pun bertambah. Namun saya tetap mengusahakan jualan Pakaian Terpakai dan Pakaian Baru bagi menambahkan lagi punca rezeki. Ketika itu juga suami saya terpaksa diberhentikan kerja oleh majikan kerana kilang kayu tersebut terpaksa ditutup. Mujurlah kami sudah ada kedai runcit untuk diusahakan oleh suami saya memandangkan dia sudah tidak ada pekerjaan lagi. Taraf hidup kami semakin baik dan sumber kewangan pun semakin kukuh maka saya dan suami membeli sebuah motosikal YAMAHA 100 bagi memudahkan pergerakkan mengurus kerja. Inilah kenderaan bermotor pertama saya beli yang masih disimpan hingga sekarang .
Berkat usaha gigih, kesabaran dan kejujuran perusahaan kami semakin maju dan pelanggan semakin hari semakin ramai maka kami mempelbagaikan barangan jualan kedai runcit kami. Walau pun perusahaan kami agak maju tetapi itu bukan aras impian saya selama ini. Saya bercita-cita tinggi untuk menjadi seorang USAHANITA SIMUNJAN YANG BERJAYA. Justeru itu saya berfikir untuk menjadi seorang KONTRAKTOR pula. Saya bertanya kepada ahli keluarga dan rakan-rakan yang mengetahui serba sedikit tentang kontraktor untuk mendapat pandangan mereka.
Ramai yang ketawa dan mengejek saya. Namun ada juga yang memberi galakkan. Mengikuti jejak Arwah bapa saya (juga seorang buta huruf) tetapi boleh mengusahakan lesen kontraktor menjadikan semangat saya semakin kuat. Berbekalkan semangat jitu tanpa pengetahuan mendalam tentang kontraktor serta tanpa pendidikan formal saya menubuhkan lesen perniagaan FRIENDY ENTERPRISE pada 26 ogos 1997.
Saya mengabaikan segala ejekan, ketawa dan cemuhan daripada mereka yang tidak percaya bahawa saya boleh buat walaupun saya buta huruf . Hasil usaha gigih dan bantuan rakan-rakan, saya berjaya mendapat projek-projek kerajaan walau pun jumlahnya agak kecil. Ini menjadikan saya lebih bersemangat untuk terus maju lagi. Alhamdulillah rezeki saya semakin bertambah, projek demi projek diberikan kepada saya. Semuanya mungkin kerana Perinsip Kerja Saya Mementingkan Kualiti Berbandingkan Kuantiti Dan Keikhlasan Melakukan Sesuatu Kerja. Keadaan ekonomi keluarga saya semakin bertambah stabil ketika itu.
Pada pertengahan tahun 2002 saya telah ditawarkan oleh Pengurus Ladang Sawit Simunjan (KRIS JATI SDN.BHD) untuk bekerja di ladang tersebut sebagai Kontraktor Pengangkut Tandan Buah Segar dari ladang ke kilang sawit di Gedong dan Mongkos. Pengurus ladang mengarahkan saya menyediakan dua buah lori muatan 5,000 kg. Mujurlah saya ada sedikit wang simpanan untuk membayar bayaran pendahuluan sebanyak RM10,000.00 bagi membeli sebuah lori manakala selebihnya saya membuat pinjaman bank. Beberapa bulan selepas itu saya membeli sebuah lagi lori muatan 5,000 kg bagi memenuhi syarat yang ditetapkanan oleh Pengurus ladang. Setiap tahun selepas itu saya menambah lagi lori sehingga syarikat saya mempunyai empat buah lori muatan 5,000 kg.
Semua itu tidak bertahan lama. Gara-gara penyelewengan Sistem Pengurusan Ladang dan penyelewengan Pemandu Lori ditambah pula keadaan jalan ke ladang rosak terlalu teruk maka saya menanggung kerugian besar. Hutang bertambah di sana sini sehingga puluhan ribu Ringgit Malaysia. Wang simpanan di akaun saya hanya tinggal sebanyak RM20.00 sahaja. Keadaan saya ketika itu betul- betul tersepit oleh hutang piutang. Orang-orang kampung mula mengejek dan mentertawakan saya semula. Perasaan malu bercampur sedih terbuku di hati. Di mana saya boleh mendapatkan wang untuk membayar segala hutang. Saya betul-betul tertekan ketika itu. Di mana kawan-kawan yang dahulunya mesra ketika saya ada wang ? Itulah nilai sesetengah kawan. “Kawan ketika saya ketawa ramai yang datang walau pun tidak diundang, kawan semasa saya menangis sukar dicari”. Ramai juga kami sebagai kontraktor-kontraktor di Ladang Sawit Simunjan menjadi Kambing Hitam dan terpaksa menamatkan kontrak.
Allah masa pengasih lagi menyayangi. Kita jangan lupa bahawa suami, anak-anak, menantu dan ahli keluarga adalah rahmat Allah yang tidak ternilai. Mereka semua memberi sokongan dan semangat untuk saya bangkit semula. Atas nasihat mereka maka saya menjual tiga buah lori kepunyaan syarikat saya walau pun masih terikat dengan pinjaman bank. Harga yang saya tawarkan terlalu rendah jika dibandingkan baki pinjaman hanya tinggal sedikit. Semuanya saya lakukkan hanya untuk melepaskan diri dari pinjaman bank. Wang hasil jualan lori tersebut saya gunakan untuk membayar hutang-hutang yang lain. Walau pun wang tersebut tidak seberapa berbanding jumlah hutang terkumpul tetapi sedikit sebanyak dapat menolong meringankan beban saya.
Allah tidak menganiaya umat Nya. Lebih-lebih lagi insan yang teraniaya. Alhamdulillah. Sekali lagi puji dan syukur saya kepada Allah S.W.T. Dengan izin Nya juga syarikat saya mendapat beberapa projek kerajaan untuk dilaksanakan. Mujurlah suami saya ada menyimpan sedikit wang bagi tujuan kecemasan dan hasil jualan kedai runcit. Bermodalkan wang tersebut dan pinjaman hutang daripada pembekal-pembekal yang masih percaya dengan kebolehan saya maka tiga projek kerajaan berjaya disiapkan. Hasil daripada projek tersebut saya gunakan untuk membayar hutang-hutang yang ada walau pun tidak dapat langsai sepenuhnya. Semenjak dari hari itu saya sering mendapat projek kerajaan sehingga sekarang.
Setelah saya berjaya melunaskan segala baki hutang- hutang yang tinggal, saya dan suami berhasrat menyiapkan rumah baru kami yang didirikan semasa ekonomi kami masih kukuh dahulu. Ianya terbengkalai kerana kejatuhan ekonomi kami semasa syarikat masih sebagai Kontraktor Pengangkut Tandan Buah Segar di Ladang Sawit Simunjan (KRIS JATI SDN.BHD). Serentak dengan itu saya berhasrat membuka cawangan perniagaan lain iaitu kedai makanan sejuk beku dan menghidupkan semula anak syarikat saya HAYAATIEY ENTERPRISE yang turut jatuh kerana masalah ekonomi syarikat Induk (FRIENDY ENTERPRISE).
Pada 16.Jun.2009 saya berjaya membuka kedai makanan sejuk beku (FE SIMUNJAN COLD STORAGE) bermodalkan wang perkongsian saya suami isteri, anak-anak dan menantu. Kami menjual berbagai makanan sejuk beku seperti ayam, daging, makanan laut, buah-buahan dan lain-lain. Sekarang ini saya sudah boleh menarik nafas lega kerana segala hutang-hutang telah habis dilunaskan termasuk pinjaman bank. Kini syarikat saya memiliki sebuah lori muatan 5,000 kg yang telah lunas pinjaman bank dan sebuah Hilux yang masih dalam pinjaman bank.
Insyaallah, saya masih ingin mengembangkan serta memajukan lagi perniagaan saya sehingga ke tahap yang betul-betul memuaskan hati seiring dengan kebolehan Kaum Adam yang berpendidikan tinggi. Kata pujangga mengatakan “TANGAN YANG MENGHAYUN BUAI JUGA BOLEH MENGGONCANG DUNIA”. Jadikan kata-kata itu sebagai azimat kepada kita Kaum Hawa untuk terus maju. Buta huruf, kelemahan serta kekurangan diri, malu dan tidak ada modal bukan alasan. Kejayaan bermula dari bawah adalah kejayaan yang paling berjaya kerana kita telah melalui banyak pahit getir sebelumnya menjadi pengukur kejayaan.
Inilah hikmahnya jika kita sentiasa berusaha, menabung, tabah, bersabar, jujur, ikhlas dan bersyukur dengan ketentuan Allah. Segala usaha yang kita lakukan hendaklah diiringi dengan doa dan tawakal.
Sekian, terima kasih.
Wassallam.
KAMIS BINTI MUT.
KEDIAMAN
PENGURUS FRIENDY ENTERPRISE
DAHULU & SEKARANG
PENGURUS FRIENDY ENTERPRISE
DAHULU & SEKARANG
KEDIAMAN PENGURUS SEKELUARGA LEBIH 20 TAHUN LALU
KEDIAMAN PENGURUS SEKELUARGA SEBELUMNYA
KEDIAMAN PENGURUS SEKELUARGA SEKARANG
PERMIS FE RAJA RETAIL STORE SEBELUMNYA
PERMIS FE RAJA RETAIL STORE SEKARANG
PERMIS FE SIMUNJAN COLD STORAGE
FRIENDY ENTERPRISE & ANAK SYARIKAT
ALAMAT TERKINI SYARIKAT
LOGO FRIENDY ENTERPRISE
LOGO ANAK SYARIKAT (FE RAJA RETAIL STORE)
LOGO ANAK SYARIKAT (FE SIMUNJAN COLD STORAGE)
No comments:
Post a Comment